Amaran Banjir Akibat Ribut Sonamu Melanda Pahang

Jabatan Meteorologi Malaysia dilapor meramalkan ribut Sonamu bakal melanda negeri-negeri di Pantai Timur mulai hari ini dan bagi negeri Pahang ribut itu dijangka membadai dari 9 hingga 10 haribulan ini dengan kelajuan angin mencecah sehingga 40 kilometer sejam.

Tiga daerah di negeri Pahang iaitu Kuantan, Pekan dan Rompin berkemungkinan dilanda banjir semasa kejadian ribut tropika Sonamu itu membadai di seluruh negeri-negeri di sekitar Pantai Timur bermula hari Isnin yang turut melibatkan Terengganu dan Kelantan.


Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Muhammad Safian Ismail, 66 pusat pemindahan akan dibuka di Kuantan, 84 di Pekan dan 31 di Rompin. Selain itu, semua pegawai daerah telah diarah menguar-uarkan ancaman ribut tersebut kepada penghulu serta jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung masing-masing dan melakukan persiapan yang perlu. Negeri Pahang  juga akan mendapat bantuan daripada pasukan tentera darat seramai satu batalion yang berpangkalan di Kluang, Johor yang akan digerakkan membantu mangsa apabila keadaan memerlukan. Mereka yang kini ditempatkan di Kem 4 Briged, Kuantan akan menjadi pasukan pertama menghulur bantuan di kawasan terjejas ribut. Sebanyak tiga helikopter milik Tentera Udara Diraja Malaysia juga berada dalam keadaan bersedia untuk digerakkan bagi menghantar bantuan kepada mangsa termasuk melakukan penerbangan ihsan. BERNAMA

NOTA: Orang ramai dinasihatkan menjauhi pantai dan segala aktiviti di laut kerana dikhuatiri ombak yang tinggi bakal terjadi. Setakat artikel ini di tulis, belum ada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku lagi. Sila dapatkan perkembangan terkini di tempat anda melalui pihak yang berkenaan seperti Pegawai Daerah, Penghulu, JKKK Kampung atau Ketua Kampung.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...