Pasca PRU-13 : Selamat Menikmati Kenaikan Harga Barangan

Inilah realiti lepas PRU-13, nampak gayanya harga barangan sudah mula naik tanpa sebarang pengumuman. Bermula dari kenaikan harga roti Gardenia di pasaran sebanyak 0.30 sen dari RM 2.10 ke RM 2.40. Mungkin tidak terasa oleh mereka yang bergaji besar, tapi bagaimana mereka yang berpendapatan rendah?


Harga gas memasak pun sudah naik khabarnya, dari RM28 ke RM30 setong. Saya pasti dengan kenaikan harga gas ini akan diikuti oleh kenaikan harga makanan di restoran-restoran. Saya sendiri baru beli roti canai tadi pun dah naik harga, dari RM1.20 ke RM 1.50 sekeping.

Kenaikan kadar tenaga elektrik juga khabarnya telah naik baru-baru ini dan saya tidak pasti sejak bila, dan kenaikan ini hanya pada pengguna elektrik melebihi RM 77 sebulan. Khabarnya,  jika bil anda melebihi angka tersebut  kadar tambahan 25% dikenakan. Tak pasti bagaimana perkiraan lanjut, tapi yang nyata memang sudah ada kenaikan.


Kerajaan yang baru dipilih juga nampaknya mula menambah pendapatan dengan mengenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) kepada pengguna sebanyak 6%.  Ianya dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan termasuk barang dan perkhidmatan yang diimport.

Dalam sibuk dengan kenaikan itu dan ini, harga minyak petrol RON 97 juga telah naik. Saya pun tidak pasti berapa kenaikannya, sebab saya masih menggunakan minyak RON 95 yang masih sama harganya. Alhamdulillah, setidaknya dengan pilihan ini tidak bertambah penggunaan RM untuk membeli petrol.

Cuma saya risau kenaikan harga petrol ini akan dijadikan alasan utama peniaga-peniaga menaikkan harga sesuka hati mereka. Yang nyata, bagi pekerja swasta seperti saya sudah pasti tiada kenaikan gaji tahunan yang baru kerana sejak sebelum musim PRU baru-baru ini, memang perniagaan syarikat agak merosot.

Terpaksalah kita semua menelan saja kos sara hidup yang semakin tinggi kini. Pengalaman saya sejak menghadapi saat lepas pasca pilihan raya sebelumnya, selalunya 3 tahun mendatang akan ada pelbagai kenaikan harga barangan, cuma di hujung-hujung menjelang PRU yang akan datang, baru akan ada berita gembira penurunan harga.

Tak berbaloi rasanya pada yang mendapat bantuan sara hidup BR1M sebanyak RM 500 setahun (itupun jika layak?) sebelum ini jika terpaksa menanggung kenaikan harga barang keperluan yang entah berapa ratus RM lebih tinggi sepanjang tahun. Apa kata anda?


Posted by: Zulkbo zulkboCom Zulkbo Blog Updated at : Jumaat, Mei 10, 2013

0 Komen:

Catat Ulasan