Soal Jawab : Laman Sosial Dan Rumahtangga




Salam ustaz, saya seorang suami. Saya amat berbesar hati sekiranya ustaz dapat memberikan saya jawapan dan penjelasan atas soalan-soalan saya di bawah:

1. Sekiranya seorang isteri mempunyai akaun jaringan sosial seperti facebook, yahoo messenger, email peribadi dan seumpamanya, patutkah seorang isteri tersebut memberikan akses kepada akaun-akaun tersebut kepada suaminya agar dapat berkongsi sama melihat kandungan, rakan, gambar, nota dan segalanya yang terdapat di dalamnya?

Wajib suami menjaga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari perkara yang boleh membawa mereka kepada dosa yang akhirnya membawa ke neraka.

Firman Allah SWT yang bermaksud : “Wahai orang-orang beriman, selamatkanlah diri kamu dan ahli keluarga kamu dari api neraka” (Surah at-Tahrim, ayat 6).

Di antara yang dipesan oleh Rasululllah s.a.w ialah berhati-hati dalam memilih kawan sebagaimana sabda baginda yang bermaksud : “Seseorang itu berada di atas agama kawannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhati dengan siapa dia berkawan” (Hadith Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmidzi).

Facebook adalah jaringan kawan-kawan dan kenalan, maka suami mempunyai hak untuk memantau dengan siapa isteri dan anak-anaknya berhubungan demi membolehkannya melaksanakan kehendak ayat dan hadith tadi.

2. Haruskah seorang isteri berkongsi alamat email peribadi kepada lelaki lain yang bukan mahram walaupun atas dasar berkawan?

Suami tidak boleh terlalu menyekat isteri dari bergaul dengan orang sekeliling terutama berhubungan dengan keluarga dan rakan-rakan wanita yang solehah. Namun suami wajib menegah isteri dari terlibat dengan hubungan yang dilarang agama seperti hubungan dengan lelaki yang bukan mahram tanpa ada keperluan, bergaul dengan wanita-wanita fasik (yang tidak menjaga agama), bertandang ke tempat maksiat atau yang mendorong kepada maksiat. Suami mempunyai hak untuk menegah isteri dari terlibat dalam pergaulan sedemikian dan ia termasuk dalam kewajipan mencegah mungkar (atau menutup ruang kepada mungkar) dengan kuasa yang dimiliki.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : “Sesiapa dari kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah ia mengubahnya dengan tangannya. Jika tidak mampu, dengan lidah. Jika tidak mampu, dengan hati dan ia adalah selemah-lemah iman” (Hadith Riwayat Imam Muslim dari Abi Sa’id al-Khudri).

Menurut ulama, antara maksud mencegah dengan tangan ialah menggunakan kuasa yang ada untuk mengubah kemungkaran. Dinisbah kepada keluarga, bapa atau suami adalah orang yang berkuasa ke atas ahli-ahli keluarga.

3. Haruskah seorang isteri menerima tawaran atau panggilan untuk menjadi kawan/sahabat dari lelaki yang bukan mahram melalui jaringan sosial atau email seperti diatas?

Syariat Islam amat mengambil berat hubungan antara lelaki dan perempuan yang ajnabi (yakni yang tiada hubungan mahram atau hubungan suami-isteri) di mana ia menyempitkan hubungan dan pergaulan antara keduanya hanya kepada keperluan sahaja (bukan kebebasan). Ini kerana kebebasan akan mendorong kepada zina. Ini sebagaimana kata Nabi s.a.w ; “Tidak berduaan seorang lelaki dan seorang wanita melainkan syaitan yang akan menjadi orang ketiga” (Hadith Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Umar).

Jadi, apabila seorang lelaki dan wanita bebas berhubung dan bersembang, syaitan akan membisikkan kepada setiap mereka dan menimbulkan ghairah dan seronok, lalu ingin bertemu dan akhirnya terjerumuslah ke dalam maksiat sekalipun telah bersuami. Kejadian ini tidaklah asing lagi hari ini.

4. Salahkah seorang suami meminta seorang isteri memberitahu suaminya sekiranya si isteri ada menerima panggilan atau tawaran dari lelaki lain untuk menjadi sahabat atau rakan dari jaringan sosial atau email?

Islam tidaklah menyekat kebebasan umatnya, namun Islam memberi peringatan; kebebasan yang terlalu luas akan menjahanamkan. Oleh itu suami perlu mengimbangi kehidupan keluarganya antara kebebasan dan sekatan. Jangan memberi kebebasan tanpa batasan dan jangan pula terlalu mengongkong. Terbaik ialah pertengahan. Suami boleh membenarkan, tetapi pada masa yang sama perlu bertegas dalam perkara tertentu. Sebagai contoh, bila isteri minta nak berlaman sosial, suami menjawab; “Boleh, tetapi saya hanya benarkan dengan wanita sahaja dan jika lelaki, saya hanya benarkan dengan keluarga sahaja”.

5. Adakah seorang suami itu bersikap terlalu cemburu kepada isterinya sekiranya si suami berpandangan sedemikian?

Sikap cemburu suami jika berasas, itu adalah tanda iman. Namun cemburu tanpa berasas, itu adalah tanda penyakit hati. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud ; “Cemburu ada dua, satunya disukai Allah dan satu lagi dibenci Allah. Cemburu jika berpunca dari keraguan/kegusaran, ia disukai Allah. Namun jika tidak datang dari sebarang keraguan (cemburu buta), ianya dibenci Allah” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Hakim dari ‘Uqbah bin ‘Amir. Menurut as-Suyuti; hadith ini sahih. Lihat; al-Jami’ as-Saghier, hadith no. 5783).

Menurut ulama, maksud cemburu tanpa keraguan ialah cemburu buta, yang timbul dalam hati tanpa sebarang sebab iaitu semata-mata buruk sangka dari suami terhadap isteri atau dari isteri terhadap suami (Faidhul-Qadier).

Di dalam hadith lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud ; “Tidak akan masuk syurga lelaki yang dayus” (Hadith Riwayat Imam at-Tayalisi dari ‘Ammar).

Maksud dayus ialah; lelaki yang hilang perasaan cemburu terhadap nilai dirinya di mana ia tidak ambil tahu dengan siapa lelaki yang bersama dengan isteri atau anak perempuannya, dengan siapa mereka keluar dan ia tidak mengambil berat akhlak dan tingkah laku mereka (al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah).

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1. Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, 10/172.
2. Faidhul-Qadier, Imam an-Minawi, Syarah hadith no. 5783.
3. Al-Fiqh ‘Ala al-Mazahib al-Arba’ah, Syeikh Abd Rahman al-Jazairi, juz 5.


NOTA: Harapan saya juga, agar ianya menjadi panduan pada kita semua yang berkeluarga dalam mengharungi pancaroba hidup berumahtangga alaf kini. Dengan pelbagai kemudahan yang sedia ada, semakin banyak dugaan dan rintangan yang perlu kita hadapi bersama demi kebahagiaan rumahtangga dan keluarga agar tetap selari dengan landasan yang dituntut oleh agama islam. Semoga kita, tidak tergolong dalam golongan hamba-Nya yang  lalai.



Posted by: Zulkbo zulkboCom Zulkbo Blog Updated at : Jumaat, April 20, 2012

15 Komen:

  1. Tanpa Nama20 April, 2012

    Alhamdulillah.. ada tazkiran jumaat untuk peringatan bersama. Terima kasih Bro..

    BalasPadam
  2. nice bro, tazkirah mengenai laman sosial :)

    BalasPadam
  3. Alhamdulillah... Kini teman dah tau... thanks for sharing...

    BalasPadam
  4. Saya tidak kisah,tapi saya juga memantau laman sosial isteri dan anak..bukan cemburu,tapi berhati2...

    BalasPadam
  5. Al Hamdulillah, peringatan bersama

    BalasPadam
  6. Bagus post ni.., saya tolong sebarkan di social media. Mesti ramai yang nak baca.

    BalasPadam
  7. Thanx for sharing...tapi saya tak bagi pun pw pada asben hehe...

    BalasPadam
  8. good entry..good sharing, bro zul. tq..peringatan buat semua.

    BalasPadam
  9. assalam, info yg berguna sbgi panduan dlm melayari laman2 sosial.

    BalasPadam
  10. Cara kita bersosial sudah berubah kalau dulu kalau perempuan berbual dengan lelaki bukan muhrim secara bersemuka dianggap berdosa.

    Sekarang ini wanita bersosial dengan lelaki bukan muhrim mengunakan laman sosial bagaiman pula hukumnya?

    Bagus juga bro mengetengahkan permasalahan ini.

    BalasPadam
  11. Asalam...
    Saya sudah baca hingga habis, tapi nak tanya juga. Pertanyaan serupa dengan "akubiomed" blog saya kebanyakan wanita menyapa di komen, bukan berbual tapi drop komen saja, mereka just komen " tahnia, asalam, nice entry, semoga sihat murah rezeki dan lain2 lagi" Adakah hukumnya..jatuh juga haram ke? Saya hijrah ke agama Allah ya, yg pada asalnya bukan Islam. Alhamdulillah dapat hidayah. benar Islam agama suci dan sebaik2 agama Islam lah pilihan. wallaualam

    BalasPadam
    Balasan
    1. W_salam..
      persoalan seperti yang di kemukakan oleh Akubiomed tersebut pada pendapat saya perbualan diantara lelaki dan wanita bukan muhrim di laman sosial tidak salah selagi menjaga tata tusila agama dari segi bahasa dan percakapan yang tidak mengundang syawat seseorang..refer pada jawapan dari persoalan no3 di atas:
      "Jadi, apabila seorang lelaki dan wanita bebas berhubung dan bersembang, syaitan akan membisikkan kepada setiap mereka dan menimbulkan ghairah dan seronok, lalu ingin bertemu dan akhirnya terjerumuslah ke dalam maksiat sekalipun telah bersuami"..wallahualam :)

      Padam
  12. Salam
    Sentiasa berpada dalam bersosial
    Keseronokan yang berlebihan selalunya membawa mudarat

    BalasPadam
  13. perkongsian yg baik..boleh jdik rujukan bila dh jdik ketua keluarga nnt..

    bersederhana tu penting..x terlalu cemburu dan ambil kisah dalam hal rumahtangga..

    BalasPadam