Persamaan Dan Perbezaan Antara Hibah Amanah ASB Dan Hibah Amanah Tabung Haji

 


Hibah Amanah ASB -vs- Hibah Amanah Tabung Haji : Apa Persamaan dan Perbezaannya?


Hibah Amanah ialah pemberian Harta Hibah oleh Pemberi Hibah semasa hidupnya kepada Penerima Hibah atas dasar kasih sayang dan sukarela, tanpa paksaan dan tanpa mengenakan sebarang balasan dan berlakunya akad ijab dan qabul di antara Pemberi Hibah dan Penerima Hibah di mana Harta Hibah tersebut akan dipegang oleh Pemegang Amanah dan akan diserahmilik kepada Penerima Hibah selepas kematian Pemberi Hibah.

Dalam topik perbincangan kita kali ini :

-Pemberi Hibah maksudnya ialah pendeposit yang memegang unit amanah dalam ASB dan juga pendeposit yang menyimpan wang di dalam akaun Tabung Haji.

-Penerima Hibah maksudnya ialah individu yang dinamakan di dalam Surat Ikatan Hibah Amanah oleh Pemberi Hibah di mana individu tersebut akan menerima unit saham atau wang simpanan Pemberi Hibah selepas kematian Pemberi Hibah.

-Harta Hibah maksudnya ialah unit amanah dalam ASB (minimum RM1,000) dan juga wang simpanan di dalam akaun Tabung Haji (minimum RM1,200).

Pemegang Amanah dalam Hibah Amanah ASB ialah pihak ASNB manakala dalam Hibah Amanah Tabung Haji, Pemegang Amanah ialah Pemberi Hibah dan pihak Tabung Haji pula sebagai Pemegang Amanah Gantian.

Kedua-dua Hibah Amanah ASB dan juga Hibah Amanah Tabung Haji ialah hibah bersyarat di mana ia menjaga kebajikan Pemberi Hibah dari sudut hak menggunakan harta yang telah dihibahkan. Ini bermaksud, Pemberi Hibah masih boleh menikmati faedah atau manfaat harta yang telah dihibahkan selagi Pemberi dan Penerima Hibah masih hidup. Akaun simpanan hanya akan diberikan keseluruhannya kepada Penerima Hibah selepas kematian Pemberi Hibah.

Pemberian hibah amanah ini tidak tertakluk kepada hukum faraid maka sesiapa sahaja layak menerima harta hibah. Harta yang telah dihibahkan dengan cara yang sempurna tidak boleh dituntut oleh waris2 lain mengikut hukum faraid. Maka pemberian hibah ini boleh menjadi sebagai alternatif penyelesaian bagi pembahagian harta kepada anak angkat, mualaf atau mereka yang tidak mempunyai waris lelaki atau waris asobah.

Secara umumnya kedua-dua Hibah Amanah ini nampak sama sahaja dari sudut fungsi dan objektif perlaksanaannya. Dan kebanyakan kita memang menganggap semua hibah adalah sama sahaja. Tapi sebenarnya, ada sedikit perbezaan yang tidak disedari ramai orang. Apakah yang membezakan antara 2 hibah amanah ini?

Hibah Amanah ASB ialah hibah bersyarat ruqba manakala Hibah Amanah Tabung Haji ialah hibah bersyarat mutlak. 

Hibah bersyarat ruqba bermaksud bila Pemberi Hibah mati barulah harta dipindahmilik kepada Penerima Hibah. Tetapi jika Penerima Hibah yang mati dahulu , harta hibah akan berpatah balik kepada Pemberi Hibah dan dia boleh menggunakan semula harta itu atau menghibahkan harta tersebut kepada pihak lain pula. 

Sama juga dengan Hibah Amanah Tabung Haji di mana bila Pemberi Hibah mati harta akan dipindahmilik kepada Penerima Hibah. Itu adalah ciri hibah bersyarat. Namun bezanya ialah jika keadaan sebaliknya berlaku iaitu Penerima Hibah mati dahulu maka harta hibah tersebut akan menjadi harta pusaka milik Penerima Hibah dan perlu diserahkan kepada waris2 Penerima Hibah mengikut hukum faraid (ciri hibah mutlak). Walaupun Pendeposit/Pemberi Hibah masih hidup tapi hartanya telah menjadi harta pusaka milik waris2 Penerima Hibah. Itulah beza utamanya.

Kenapa saya buat perbandingan antara hibah ASB dan TH? Kerana ini salah satu contoh untuk menunjukkan bahawa adanya kepelbagaian jenis hibah di Malaysia. Nampak sama tapi kesannya berbeza. Nak buat hibah kat mana2 pun tak kisah tapi yang penting kena faham dan fully aware dengan kesan2 hibah yang kita buat tu. 

Apapun kaedah perancangan harta yang anda pilih, itu adalah lebih baik daripada anda tidak membuat apa2 perancangan langsung. Pastikan apa yang kita usahakan hari ini, hasilnya dapat dimanfaatkan oleh orang yang kita sayang apabila kita tiada nanti. 


(Untuk info lanjut tentang Hibah Amanah di atas, boleh rujuk sumber di asnb.com.my dan tabunghaji.gov.my)


Sumber: FB Roslina Sabiyah & Co

Posted by: Zulkbo zulkboCom Zulkbo Blog Updated at : Rabu, September 28, 2022

0 Komen:

Catat Ulasan