Virus Maut Mers-CoV Kekal Menjadi Misteri

Menerusi laporan yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet, saintis telah melakukan penyelidikan ke atas sampel yang diambil daripada 21 pesakit di Arab Saudi dan sehingga kini mereka gagal menemui jawapan bagaimana Virus Sindrom Pernafasan Timur Tengah (Mers) tersebar secara meluas di rantau Timur Tengah dan beberapa negara Barat.


Mereka turut mengecualikan kelompok kes di bandar timur al-Hasa dan hanya memberi tumpuan terhadap penyebaran wabak itu di ibu negara Saudi. Keputusan kajian ini jelas menunjukkan Riyadh sebagai pusat utama penyebaran virus pembawa maut itu dan ia hanya merebak sekali sekala ke kawasan lain.  

Penyelidikan tersebut juga sekali lagi mengulangi teori bahawa virus Mers-CoV itu mungkin disebarkan oleh haiwan kepada manusia. Sejarah genetik virus itu menunjukkan jangkitan berulang telah berlaku, namun sumber utama virus tersebut yang menjangkiti haiwan masih tidak dapat dikenal pasti hingga kini.

Cara Penyebaran Lebih Rumit

Susulan daripada itu, beberapa ujian telah dijalankan ke atas haiwan mamalia seperti unta, kelawar dan kambing di Saudi. Bagaimanapun, sampel yang diperoleh di Riyadh menunjukkan kepelbagaian genetik Mers-CoV secara meluas.

Hal ini bermakna virus itu disebarkan melalui sumber haiwan dari tempat lain yang kemudiannya disebarkan ke kawasan terbabit. Menurut pakar,  kawasan di ibu negara Saudi lebih terdedah kerana ia merupakan pusat populasi terbesar di negara tersebut.


Profesor Alimuddin Zumla dari Universiti Kolej London yang turut sama membantu penyelidikan Lancet berkata, cara virus itu tersebar sebenarnya lebih rumit daripada apa mereka jangkakan. Ia mungkin melibatkan ‘pengantara’ kerana pesakit tidak mempunyai hubungan dengan haiwan secara langsung.

Sumber sebenar virus Mers tersebut masih tidak jelas dan beberapa hipotesis yang dibuat menunjukkan ia mungkin disebarkan oleh makanan. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan sebanyak 139 kes dan 60 kematian akibat Mers direkodkan di seluruh dunia.

Bagaimanapun, 119 daripada kes jangkitan itu termasuk 51 kematian dilaporkan di Saudi iaitu selepas virus misteri tersebut dikenal pasti untuk pertama kali oleh ahli virologi Mesir, Dr Ali Mohamed Zaki pada 24 September 2012.

Bermula Dengan Selesema Biasa

Jumlah kematian yang semakin meningkat di negara itu menyebabkan banyak pihak mula bimbang dengan nasib jutaan jemaah haji pada tahun ini. Difahamkan, sukar untuk mengenal pasti simptom awal jangkitan virus Mers tersebut kerana ia hanya bermula dengan selesema biasa.

Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak berkuasa kesihatan di Timur Tengah telah menghantar kumpulan sokongan untuk memberi penerangan kepada jemaah tentang tindakan perlu diambil jika berasa kurang sihat selepas kembali dari Saudi.

Pihak WHO telah menubuhkan Jawatankuasa Peraturan Kesihatan Kecemasan Antarabangsa. Jawatankuasa itu juga mendapati  amaran tahap tinggi tidak perlu dikeluarkan seperti ketika penularan wabak Sars, H5N1 dan selesema babi di beberapa negara sebelum ini.    

Ketua teknikal penyelidikan Mers di Geneva, Dr Anthony Mounts berkata, tiada laporan menunjukkan virus Mers-CoV itu merebak dalam kalangan masyarakat kerana ia hanya menjangkiti kaki tangan perubatan yang telah berhubung secara terus dengan pesakit.




Posted by: Zulkbo zulkboCom Zulkbo Blog Updated at : Isnin, Oktober 21, 2013

0 Komen:

Catat Ulasan