Pengamal Media Kini Dipantau SEMUT (Sensible and Ethical Malaysians United Troopers)

Kini anda perlu lebih berhati-hati apabila dalam talian di laman-laman sosial seperti Facebook, Twitter mahupun blog sebelum anda mengeluarkan komen-komen sensitif mengenai kaum, agama dan kedudukan raja kerana anda kini sedang diperhatikan.

Menamakan diri mereka sebagai SEMUT - ''Sensible and Ethical Malaysians United Troopers'' (tentera siber yang beretika), kumpulan sukarelawan ini memantau laman media sosial bagi mengesan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.


Sukarelawan terdiri dari pengamal media sosial yang menentang mereka yang menjadikan laman sosial sebagai saluran menghina atau menyentuh sensitiviti orang lain. Dengan alasan, pengamal media sosial harus faham mereka bertanggungjawab terhadap komen yang mereka keluarkan pada laman sosial sendiri atau milik orang lain.

"Sukarelawan ini akan menyalurkan maklumat termasuk ''screenshot''. Kemudian kita akan teliti maklumat itu dan buat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menyiasat," kata penyelaras SEMUT, Huan Cheng Guan kepada Bernama.

"Apa yang sukarelawan ini mahu ialah masyarakat menjadikan media sosial sebagai saluran interaksi yang positif untuk membina persahabatan dan rangkaian kerja, bukan mengutuk, menghina atau mengeluarkan kenyataan tidak sensitif sehingga menyakiti hati orang lain," katanya. 

"Benar anda boleh paparkan apa sahaja pada laman FB (Facebook), akan tetapi anda juga harus faham anda bertanggungjawab pada komen itu. Cara terbaik untuk mengelak daripada berdepan masalah ialah berhati-hati dengan kenyataan yang anda tulis," katanya.

Setakat ini SEMUT telah membuat dua laporan polis terhadap dua pengguna laman sosial FB (Facebook) yang dikatakan telah mengeluarkan komen sensitif mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Nabi Muhammad.

"Walaupun kami tidak dapat kenal pasti identiti mereka, kami berharap dengan laporan polis dan penyaluran maklumat itu, pihak berkuasa dapat menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.

Huan juga menjelaskan SEMUT tidak bertujuan menyaingi kuasa pihak seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia atau polis kerana peranan Semut hanya untuk menyalurkan maklumat.

Ditanya sama ada sukarelawan itu dibayar oleh pihak tertentu, Huan berkata: "Kami sukarelawan dan tidak dibayar oleh sesiapa. Kami lakukan ini kerana kami tidak mahu ada yang terus menggunakan laman sosial sebagai platform untuk menghina orang lain, agama mereka dan juga raja kita." 

SUMBER

 
Posted by: Zulkbo zulkboCom Zulkbo Blog Updated at : Ahad, Julai 21, 2013

0 Komen:

Catat Ulasan