Siti Nurhaliza Bakal Menyambung Pelajaran Di Universiti





SHAH ALAM, (Bernama) - Penyanyi tersohor negara Datuk Siti Nurhaliza Tarudin bakal mengikuti pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini tidak lama lagi.

Meskipun mengambil keputusan meneruskan kerjaya sebagai penyanyi selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau berkata cita-cita melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tidak pernah padam sejak lebih 10 tahun lepas.

Bidang muzik menjadi pilihan memandangkan ia seiring dengan kerjayanya sebagai penyanyi, dan beliau percaya UiTM merupakan tempat terbaik untuk menggenggam sekurang-kurangnya segulung diploma dalam bidang berkenaan.

"Siti sedang berbincang dengan pihak UiTM, dan insya-Allah sekiranya semuanya berjalan lancar, Siti akan meneruskan pengajian seperti yang dirancang," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan persembahan pada Malam Gala dan Karnival SimplySiti. 

Perkara itu turut disahkan Naib Canselor UiTM Profesor Datuk Dr Sahol Hamid Abu Bakar pada sidang akhbar berkenaan. Dr Sahol Hamid berkata UiTM sedang berbincang mengenai perkara itu dan sedia menerima Siti Nurhaliza yang berhasrat menyambung pengajiannya.

NOTA: Tahniah dari blog ini pada beliau. Selepas mengikuti program Askar Wataniah tempohari, hasrat beliau menyambung pelajaran adalah satu langkah ke hadapan dalam melahirkan artis berpendidikan. Menuntut ilmu bukan mengira usia dan masa, berterusan hingga ke liang lahad. Contoh terbaik buat golongan muda untuk mengejar setiap peluang yang ada dalam menimba ilmu yang tak pernah kontang dek kemajuan teknologi.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...